Saturday, November 17, 2012

kisah menjaga aib

Nabi ALLAH Ibrahim telah memberi teladan di dalam hal ini apabila menguji menantunya yang merupakan isteri kepada Nabi Ismail.
Setelah isterinya Hajar meninggal dunia, Nabi Ibrahim datang ke Mekah untuk bertemu dengan anaknya Nabi Ismail yang ketika itu telahpun berkahwin. Apabila Nabi Ibrahim sampai di rumah anaknya, beliau tidak dapat berjumpa dengan Nabi Ismail. Lantas ditanya kepada isteri anaknya: “Di mana Ismail?” Isterinya menjawab: “Ismail telah keluar untuk mencari nafkah.” Beliau bertanya lagi: “Bagaimana keadaan kamu sejak berkahwin dengan Ismail?” Isteri Nabi Ismail pun menjawab: “Kehidupan kami amat susah.” Lalu menceritakan semua kesusahannya kepada Nabi Ibrahim. Sebelum berangkat pulang, Nabi Ibrahim pun berkata: “Apabila suami kamu pulang, sampaikan salamku dan katakan kepadanya agar menukarkan pintu rumah ini.” 
Apabila Nabi Ismail pulang, beliau merasakan sesuatu lalu bertanya kepada isterinya: “Adakah seseorang datang kepadamu?” Isterinya menjawab: “Ya. Ada seorang tua yang begini keadaannya bertanya tentang dirimu lantas aku memberitahunya bahawa kamu keluar mencari nafkah. Dia juga bertanya tentang kehidupan kita, maka aku memberitahunya bahawa kehidupan kita sangat susah.”
Nabi Ismail bertanya lagi: “Apakah dia ada memesan  sesuatu kepadamu?” Isterinya menjawab: “Ya. Dia me-nyampaikan salamnya kepadamu dan menyuruh kamu menggantikan pintu rumah ini.” Nabi Ismail pun berkata: “Itulah ayahku. Dia telah memerintahkan aku menceraikanmu, maka kembalilah kepada keluarga kamu.” 
Kemudian Nabi Ismail bernikah dengan seorang perempuan lain. Setelah sekian waktu, datanglah perintah ALLAH agar Nabi Ibrahim pergi sekali lagi ke Mekah untuk menziarahi anak dan keturunannya. Malangnya, apabila sampai di rumah anaknya, beliau tidak dapat berjumpa dengan Ismail. Beliau bertanya kepada isteri Nabi Ismail: “Di mana Ismail?” Isterinya menjawab: “Ismail keluar mencari nafkah.” Nabi Ibrahim bertanya lagi: “Bagaimana keadaan kamu setelah berkahwin dengan Ismail?”  Menantunya menjawab: “Keadaan kami amat baik dan lapang” sambil memuji ALLAH. Beliau bertanya lagi: “Apakah makanan kamu?” Menantunya menjawab: “Daging.” Nabi Ibrahim bertanya lagi: “Apakah minuman kamu?” Lalu dijawab menantunya: “Air.” Nabi Ibrahim pun memanjatkan doa: “Ya ALLAH, berkatilah mereka dengan daging dan air.” Beliau menyambung: “Apabila suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya dan suruhlah dia menguatkan gerbang pintu rumah ini.”
Apabila Nabi Ismail pulang, beliau merasakan sesuatu lalu bertanya kepada isterinya: “Adakah ada seseorang datang kepadamu?” Isterinya menjawab: “Ya, aku didatangi seorang lelaki tua yang berpenampilan baik” sambil bibirnya memuji-muji lelaki tersebut. “Dia bertanya mengenai dirimu, aku katakan kepadanya yang kamu keluar mencari nafkah. Dia juga bertanya tentang kehidupan kita sekeluarga, lalu aku menjawab alhamdulillah kita sekeluarga berada dalam keadaan baik.” Nabi Ismail bertanya: “Apakah lelaki itu ada meninggalkan pesanan buatku?” “Ya, ada. Dia menyuruh kamu menguatkan gerbang pintu rumah ini.” Nabi Ismail pun berkata: “Dia adalah ayahku dan kamulah pintu gerbang yang dimaksudkan itu.” - Hadis riwayat Bukhari.
pengajaran: 
Seorang isteri atau suami tidak boleh sesuka hati membuka aib dan cerita masalah rumah tangga kepada sesiapa, sekalipun ibu bapanya. Ini kerana mereka adalah pihak luar yang tidak mengetahui hujung pangkal masalah tersebut. Campur tangan ini hanya mengundang salah faham dan masalah komunikasi yang sekali gus membuka ruang fitnah serta pergaduhan.

source: http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment